MAJLIS PERASMIAN
KONVENSYEN IMAM DAN PENGURUSAN KARIAH MASJID
TAHUN 1437 HIJRIYYAH BERSAMAAN 2015 MASEHI
DI TH HOTEL AND CONVENTION CENTRE
ALOR SETAR, KEDAH
PADA 3 DISEMBER 2015 (KHAMIS)
Alhamdulillahirobbil ‘aalamin.
Segala puji dan puja itu milik Allah, Tuhan yang menjadikan sekalian alam.
Wassolatuwassalamu ‘alaa Saiyidina Muhammadin wa’ala walihi wasohbihi ajma’iin.
Solawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW. Juga solawat dan salam ke atas kaum keluarga Baginda SAW serta para sahabat sekalian. Amma ba’du.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat kasih sayangNya kita hingga ke saat ini diberikan nikmat iman dan Islam. Mudah-mudahan kita dapat menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat kurniaanNya, Inshaa Allah. Amin ya robbal ‘aalamin.
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di atas penganjuran konvensyen ini, yang pada saya begitu penting untuk kita semua fahami beberapa permasalahan, khususnya ancaman IS terhadap keselamatan negara serta ancaman akidah atau fahaman-fahaman yang menyimpang daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan imam dan setiausaha kariah masjid dari seluruh Negeri Kedah Darul Aman di atas kehadiran yang begitu memberangsangkan ini. Ini suatu mesej yang boleh kita fahami bahawa tuan-tuan senantiasa memberikan komitmen yang terbaik kepada jabatan dan Kerajaan Negeri.
Tuan-tuan sekalian adalah pemegang amanah kerajaan di peringkat kariah di dalam menyampaikan visi dan misi serta hasrat kerajaan, lebih-lebih lagi terhadap isu keganasan atau terrorisme yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Penularan agenda keganasan cukup membimbangkan semua pihak, termasuklah Kerajaan Negeri Kedah sendiri. Semoga konvensyen ini mengupayakan kita untuk mencari kaedah yang terbaik bagi membanteras kegiatan yang menggugat keharmonian masyarakat dan mencela kesucian agama Islam dari bertapak di bumi yang kita cintai ini.
Isu terrorisme ini bukanlah perkara yang baharu, ia sudah wujud sejak dari dahulu lagi, cumanya mungkin kita tidak menyedari kewujudan mereka kerana kumpulan-kumpulan ini biasanya bergerak secara rahsia, atau mungkin kerana bilangan mereka yang tidak ramai sehingga mereka dapat merahsiakan identiti dari masyarakat umum.
Negara kita pernah digemparkan dengan peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa Al Ma’unah di Bukit Jenalik, Perak pada 02 Julai 2000 dan beberapa insiden lain, di mana kita mendapati bahawa semua ini berpunca daripada fahaman ekstrim yang akhirnya mengundang pertumpahan darah. Dan, apabila berlaku kacau bilau, malah mencetus perang, maka sudah tentu ia akan melibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan, Puan yang saya kasihi sekalian,
Kesan radikal atau keganasan agama ini turut dirasai oleh seluruh masyarakat dunia; Tunisia, Maghribi, Iraq, Mesir. Negara yang masih berlarutan peperangannya hingga ke hari ini adalah Syria. Sengketa sesama bangsa yang tidak tahu penghujungnya mengakibatkan kemusnahan hampir keseluruhan negara Syria. Ribuan nyawa tidak berdosa terkorban, ratusan ribu lagi hilang tempat tinggal. Kesannya kepada masyarakat amat menyayat hati.
Tidak dilupakan juga etnik Rohingya yang dinafikan hak-hak mereka di tempat kelahiran mereka sendiri kerana adanya fahaman-fahaman melampau ini. Akhirnya mereka dibunuh, dizalimi, bahkan boleh dikatakan pembersihan etnik dilakukan oleh junta kerajaan Myanmar tanpa henti dan tanpa peri kemanusiaan.
Maka, senario yang berlaku pada hari ini hendaklah kita jadikan pengajaran dan ikhtibar agar fahaman-fahaman radikal dan terrorisme tidak mempengaruhi masyarakat negara ini, amnya dan negeri ini, khasnya.
Dalam kita berjaga-jaga, kita adakan forum, kita adakan konvensyen memberikan penerangan di semua peringkat, ada juga yang terpengaruh dengan fahaman-fahaman radikal ini seperti kisah seorang ustaz di daerah Baling yang pergi berperang di Syria. Begitu juga orang Selangor dan lain-lain negeri dan akhirnya mereka terkorban dalam peperangan tersebut.
Saya pernah terbaca artikel yang memetik ulamak terkenal, Syeikh Dr. Yusuf Al Qardhawi yang mengatakan bahawa jihad di Syria ketika ini penuh dengan kecelaruan. Kita khuatir, orang-orang di luar Syria yang ingin berjihad di Syria tersalah mengikuti kumpulan-kumpulan yang sepatutnya diperangi hingga akhirnya mereka berperang dengan orang-orang yang sepatutnya disokong dan dibela.
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.
Kita semua akui bahawa kedatangan Islam adalah sebagai rahmat kepada sekalian umat manusia dan sudah dijelaskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai agama yang harmoni dan sejahtera. Namun, kebelakangan ini kita berhadapan dengan serangan pemikiran sekular yang sangat ganas menerjah akidah umat Islam dan usaha musuh Islam secara tersusun yang cuba membentuk persepsi umum kononnya Islam itu ganas dan umat Islam itu pengganas.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa umat Islam hari ini menjadi sasaran celaan, malah sistem yang diciptakan oleh Islam diganggu gugat, sehinggakan tercetus konflik mazhab serta fahaman yang menyemarakkan api sengketa sesama umat Islam.
Bukan hanya sekadar memecahkan kesatuan Islam, musuh-musuh Islam bertindak melaga-lagakan golongan ulamak dengan golongan umarak supaya masyarakat Islam tidak lagi menghormati institusi keagamaan. Di tambah lagi dengan budaya ekstrim yang sedang membarah sehingga melahirkan manusia yang hilang jatidiri Muslim, malah menjadi musuh untuk menghancurkan Islam.
Citra dan wajah kesejahteraan Islam cuba dirosakkan wajah bengis kumpulan Islam yang kononnya berjihad, sedangkan Islam yang sebenar tidak mencerminkan ciri-ciri seperti yang mereka lakukan. Kita mesti sedar, apa saja tindakan berbentuk keganasan oleh umat Islam bukanlah mencerminkan ajaran Islam itu sendiri. Islam menentang segala bentuk penindasan, kezaliman dan keganasan. Islam memberatkan aspek kasih sayang serta sifat ambil berat terhadap sesama Islam dan bukan Islam.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menegakkan yang benar dan terus mempertahankan bahawasanya, Islam agama kedamaian, yang tidak menggalakkan perang, malah melarang pembunuhan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul Kami dengan (membawa) keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi." (Surah al-Maidah, ayat 32)
Hadirin yang saya muliakan sekalian,
Peranan Imam tidak terbatas dalam lingkungan masjid tetapi suatu tugas agama dan sosial yang dapat meninggikan taraf masyarakat dari segi pengetahuan, kesihatan dan sebagainya. Imam dalam istilah sekarang merujuk kepada mereka yang dilantik oleh pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama atau Majlis Agama Islam untuk melaksanakan tugas sebagai mengimami atau mengetuai sembahyang lima waktu, sembahyang dan khutbah Jumaat, sembahyang hari raya dan hari-hari tertentu keagamaan. Begitu juga pusingan mengajar ilmu-ilmu agama di masjid. Mungkin lebih luas lagi fungsinya ialah menjadi penanggungjawab agama dan sosial setempat yang mesti menjalankan tugas menyebarluas semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusiaan kepada sesiapa yang memerlukan setakat yang termampu.
Masjid dalam Islam pula bukanlah sekadar tempat ibadah tetapi patut diimarahkan sebagai sekolah dan pusat kegiatan kemasyarakatan. Oleh itu, Imam mestilah mengenali keluarga khariah dengan berusaha mendekati mereka dengan serapat mungkin. Mungkin dapat saya senaraikan di sini beberapa peranan utama Imam, antaranya bertanggungjawab memberi fatwa dalam khariahnya; memutuskan hukum; menyelesaikan masalah berbangkit di dalam khariahnya; mengeratkan kerjasama anak khariah dengan pelbagai program seperti ziarah, ceramah, sebaran dan pertemuan-pertemuan. Selain itu, Imam juga diharapkan mengambil tahu mengenai keadaan anak khariah termasuklah melawat orang sakit dan menolong mereka yang berhajat, di samping mendekatkan pandangan-pandangan yang berbeza antara satu sama lain.
Pendek kata, Imam adalah individu yang paling rapat dengan penduduk setempat dan berperanan dalam mensejahterakan masyarakat dalam khariahnya. Ini termasuklah mengambil tahu tentang susah senang anak khariah itu sendiri. Contohnya, jika ada anak khariah yang begitu lama berdoa berseorangan di dalam masjid, kita harus terfikir; adakah dia benar-benar sedang bermunajat kepada Allah atau dia barangkali sedang dalam masalah yang besar. Boleh jadi ada yang tidak kena dengan kehidupannya ketika itu; ada masalah kewangan, masalah keluarga ataupun telah melakukan kesilapan yang besar. Mungkin juga dia sedang berkira-kira untuk menyertai gerakan pelampau setelah terpengaruh dengan dakyah yang terpesong.
Di sini Tuan-Tuan Imam ataupun Ahli Jawatankuasa Masjid dapat mendekati beliau dan berusaha meleraikan kekusutannya. Berperananlah sebagai kaunselor, yang dapat membimbing anak khariah itu kembali ke pangkal jalan; memberikan sinar harapan kepadanya; atau meringankan beban yang tanggung ketika itu. Saya percaya tanggungjawab sebegini pasti dapat mensejahtera kehidupan masyarakat yang kita pimpin.
Sebagai kesimpulan, marilah kita semua mengembleng tenaga, meningkat usaha untuk sama-sama kita memelihara keharmonian dan keamanan negeri dan negara kita yang telah sekian lama kita menikmatinya.
Katakan TIDAK pada IS. Katakan TIDAK pada apa jua aliran pemikiran yang berbentuk radikal dan ganas. Katakan TIDAK pada apa jua aliran-aliran pemikiran atau akidah yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Semoga negara dan negeri kita akan terus mencapai keamanan dan keharmonian dan mendapat keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT. “Baldatun thoyyibatun wa rabbun ghofur”. Maksudnya “negara yang diberkati oleh Allah dan mendapat keampunan daripada Allah kepada sekalian penduduknya”. Amin Ya Robbal ‘Aalamin
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, hadirin yang saya hormati,
Maka dengan ini, dengan lafaz “Bismillahirrohmanirrohim” saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Imam dan Pengurusan Kariah Masjid Tahun 1437 Hijriyyah bersamaan 2015 Masihi.
Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.