Kematian dua rakyat Malaysia itu disahkan oleh pegawai Kedutaan Malaysia di ibu negara Thailand ini.
Letupan pada kira-kira 7 malam (8 malam waktu Malaysia) berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berdekatan dengan Kuil Erawan dan pusat beli-belah Bangkok.
Ia turut merosakkan beberapa kereta dan motosikal.
Selain itu, laporan menyatakan beberapa penjaja jalanan dipercayai antara mangsa letupan itu.
Ketua Polis Thailand Jeneral Somyot Poompanmouag berkata kemungkinan warga China dan Filipina adalah antara 16 orang yang terkorban akibat letupan bom itu.
Sumber polis lain pula berkata mangsa mungkin termasuk pelancong dari Jepun dan Hong Kong.
Somyot kemudian mempengerusikan satu mesyuarat di ibu pejabat polis selepas melawat kawasan letupan itu.
Sebelum ini, beliau berkata letupan itu disebabkan oleh bom TNT.
Laporan yang belum disahkan daripada sumber polis menyatakan mungkin ada dua lagi bom yang tidak meletup, yang membayangkan bahawa pihak yang bertanggungjawab mahu mencetuskan kemusnahan besar.
-- BERNAMA