Bebanan kerja yang ditanggung lebih 500,000 guru di seluruh negara akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada sidang media selepas menghadiri majlis meraikan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa lalu.
Beliau berkata, perkara yang akan dikaji hanya membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki seorang guru yang sebelum ini banyak menimbulkan rungutan.
"Ada rakan-rakan saya dalam kalangan guru bercakap mengenai perkara ini, jadi saya rasa perkara ini perlu dikaji supaya kita lebih jelas permasalahan sebenar yang dihadapi mereka dalam isu ini.
"Kita akan cuba semak apakah bebanan yang dimaksudkan dan peratusannya...kajian ini tidak membabitkan tugasan hakiki guru, cuma kerja-kerja lain di luar tugas hakiki mereka," katanya di sini, hari ini.
Mahdzir selain itu mengesahkan tidak ada sebarang perubahan dari segi dasar pendidikan akan dilakukan pada masa ini kerana dasar sedia ada masih relevan mengikut keadaan semasa.
"Selama ini dasar pendidikan tetap sama sejak tahun 60-an, 70-an dan hingga sekarang, cuma yang berlaku adalah penambahbaikan terhadap dasar itu mengikut kesesuaian zaman," katanya. -BH