Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan 'semasak-masaknya' tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik.
"Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet) dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan," katanya
Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.
Beliau melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta satu timbalan menteri daripada jawatan mereka.
Beliau turut membawa masuk beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri.
Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.
"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya.