LANGKAWI – Pendekatan transformasi, migrasi sikap dan penguatkuasaan undang-undang secara lebih tegas yang terkandung dalam Pelan Strategik Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) 2014-2018 mampu menjadikan agensi itu lebih berdaya maju.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pelan yang menggariskan enam teras utama membabitkan pembangunan modal insan, kecekapan perkhidmatan, pengukuhan kewangan, kesejahteraan rakyat, komunikasi berkesan dan kelestarian persekitaran diyakini bakal melonjak nama agensi itu.
“Usaha yang dilakukan MPLBP ini tepat pada masanya memandangkan kedudukan Langkawi yang giat dipasarkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dan sering menjadi tumpuan pelancong. Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dijalankan dengan lebih tegas bagi mengubah tanggapan orang ramai bahawa pembangunan mudah dilakukan di pulau ini tanpa perlu memperoleh kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Sambutan Ulang Tahun Pengisytiharan MPLBP Ke-15 yang dihadiri lebih 500 tetamu di Resort World.
Pada majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 22 kakitangan tetap dan kontrak MPLBP, selain menyampaikan hadiah kepada 10 pemenang cabutan bertuah cukai taksiran tahun lalu.
Antara pemenang berkenaan ialah Kamaruddin Said yang membawa pulang televisyen diod pemancar cahaya (LED) 32 inci; Tarmizi Ahmad dan Abdullah Sudah (Tablet); Azninan Baharom dan Ahmad Saad (peti sejuk) dan Rohani Ismail (televisyen LED 42 inci).
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Kerja Raya dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan dan Yang Dipertua MPLBP, Encik Isahak Murat.
sumber dari UMTK